Pengikut

Sabtu, 12 Jun 2010

Aku di paper BH.....

Akhirnya setelah menunggu 3 minggu..akhirnya aku kuar gak kt paper Berita Harian....Phew...ok gak...walaupun muka agak serabai ngan misai janggut yang berserabut..angan-angan nak buat cam misai janggut ala-ala Tony Stark...hehe...





Ikutilah temubual bawah ni...

JARANG sukan bola baling diketengahkan sebagai tema untuk komik ataupun filem. Sukan ini boleh disifatkan tidak begitu popular untuk ditampilkan dalam sebuah cerita berbentuk drama atau filem ataupun ditampilkan dalam cerita komik.

Bagaimanapun, sukan yang kurang popular inilah yang menaikkan nama artis komik bernama Reja di kalangan peminat komik tempatan. Idea yang lahir secara spontan untuk menampilkan sukan ini dalam karya sulungnya yang diterbitkan tahun lalu mendapat sambutan ramai hingga ia disambung ke siri kedua tahun ini. Mungkin kerana sukan ini jarang diketengahkan, maka ia memberi suatu pembaharuan dalam bahan bacaan komik tempatan. Di samping itu, pemilihan watak remaja sekolah dan jalan cerita yang menarik serta memaparkan kehidupan sebenar yang dilalui golongan remaja sekolah yang aktif dalam sukan seperti ini.

Gaya lukisan Reja mempunyai sedikit ciri manga namun beliau menyeimbangkannya dengan karakter watak tempatan, misalnya penampilan gadis remaja yang bertudung.

Untuk siri Shootz yang pertama, Reja memperkenalkan kepada pembaca mengenai kisah pasukan bola baling di sebuah sekolah menengah yang prestasinya semakin merosot walaupun mereka sebelum itu adalah juara peringkat kebangsaan untuk tiga tahun berturut-turut. Kejatuhan prestasi pasukan itu hampir membuatkan kelab bola baling di sekolah itu dibubarkan. Pun begitu, kemunculan seorang pelajar baru yang berbakat dalam sukan ini memberi harapan kepada kelab ini. Lebih banyak konflik dan debaran dipaparkan Reja dalam siri kedua Shootz.

Untuk mengenali lebih dekat dengan artis komik ini, ikuti temubual bersama Di Sebalik Nama...

Bagaimana anda boleh bergiat dalam penghasilan komik?

Pada asalnya lukisan kartun adalah sekadar mengisi masa lapang serta cubaan untuk menyertai pertandingan bakat baru melukis kartun yang dianjurkan sebuah penerbitan. Cubaan saya yang pertama itu tidak membuahkan hasil, namun bagi saya itu langkah yang baik untuk mendapatkan pendedahan mengenai bidang kartun dan komik. Sekurang-kurangnya saya dapat membandingkan kelebihan atau kekurangan antara karya yang saya hasilkan dengan karya yang menjadi pilihan juri dalam pencarian bakat baru itu.

Apa langkah seterusnya selepas cubaan anda dalam pencarian bakat baru itu tidak membuahkan hasil?


Kira-kira dua tahun lalu, sepupu saya yang mengetahui mengenai kecenderungan saya dalam melukis komik memperkenalkan saya kepada kartunis Umbut. Kartunis inilah yang memberitahu saya mengenai syarikat PTS Millennia yang sedang mencari karya komik untuk diterbitkan. Selepas mendapat peluang untuk bertemu dengan pengurusan PTS, saya mengusulkan idea untuk menghasilkan komik yang mengisahkan pasukan bola baling remaja.

Dari mana datangnya idea untuk menampilkan sukan bola baling sebagai tema karya komik anda?

Tidak dinafikan, penghasilan komik berjudul Shootz ini ada mengambil inspirasi daripada komik dari Jepun mengenai pasukan bola keranjang Slamdunk yang sememangnya popular di kalangan peminat komik. Kebetulan, ketika hendak mengusulkan idea kepada PTS, saya terfikir untuk mengetengahkan sukan bola baling, walaupun ia tidak begitu popular seperti sukan bola sepak atau bola keranjang. Lagipun, saya ingin mencuba pasaran terlebih dulu dan Alhamdulillah, kerana sambutan yang menggalakkan, komik Shootz disambung siri kedua.

Apakah anda tidak bimbang dengan reaksi pembaca ketika hendak memilih sukan ini sebagai tema karya anda?

Saya tidak kisah kerana sukan bola baling juga menarik untuk ditampilkan dalam cerita komik. Apa yang pasti, elemen drama yang dipaparkan dalam karya ini berbeza. Perbezaan ini hanya dapat dilihat selepas seseorang membaca karya ini.

Adakah Shootz sudah mempunyai lingkungan pengikutnya yang tersendiri?

Boleh dikatakan begitu jugalah. Selepas Shootz siri pertama diterbit dan diedarkan, ramai yang bertanya kepada saya bila sambungannya akan disiapkan. Sebab itulah saya teruskan sambungan cerita ini dan harap ia akan terus berkesinambungan pada masa akan datang.

Adakah anda menggunakan pengalaman sendiri dalam proses menghasilkan karya ini?

Kalau diikutkan, dulu saya bukanlah seorang pemain bola baling profesional, cuma bermain sukan ini sekali-sekala ketika pendidikan jasmani di sekolah. Jadi, bila timbul idea untuk menampilkan sukan ini sebagai tema karya, saya mencari maklumat mengenai sukan ini dan membuat sedikit kajian mengenai teknik dan peraturannya. Selain membantu untuk melukis pergerakan yang biasa dilakukan pemain bola baling, saya juga ingin mengelak daripada tersalah memberi maklumat mengenai sukan ini dalam jalan cerita yang saya hasilkan.

Sepanjang anda terbabit dalam bidang ini, bagaimana anda melihat keadaan industri komik dan kartun tempatan?

Pada pandangan saya sepanjang dua tahun menceburi industri ini, selepas timbulnya idea dari syarikat PTS untuk menghasilkan siri Komik-M, saya rasa industri komik dan kartun tempatan lebih meyakinkan, terutama bagi kami yang menghasilkan karya. Sekurang-kurangnya, kebanyakan artis komik atau kartunis tahu yang mereka masih mempunyai ruang dan peluang untuk mengetengahkan karya mereka kepada orang ramai. Bukan itu saja, keadaan industri yang stabil dan kukuh dapat menggalakkan bakat baru mengetengahkan bakat dan idea mereka yang mungkin lebih segar dan mempunyai kelainan.

Sebagai artis komik, apakah cabaran yang anda hadapi dalam perjalanan karier?

Menjadi impian setiap pengkarya untuk menghasilkan sesuatu karya yang segar, unik dan lain daripada yang lain. Tapi ia bukan perkara yang mudah untuk dilaksanakan. Suatu cabaran yang sangat besar bagi seseorang artis komik untuk menghasilkan karya komik yang tersendiri dan yang paling penting, dilihat sebagai karya yang bagus di kalangan penggiat dan peminat dalam industri ini. Bagi saya, lebih membanggakan lagi bagi seseorang artis komik jika mereka mampu menjadi peneraju kepada sesuatu idea baru yang dapat mempertingkatkan lagi industri ini.

Apakah antara harapan yang ingin direalisasikan?

Saya berharap saya dapat terus bertahan dalam industri ini untuk jangka waktu yang panjang di samping menghasilkan lebih banyak karya yang berkualiti. Untuk jangka masa yang terdekat, saya bercadang untuk memperkenalkan karya yang bertemakan aksi. Setakat ini ia masih dalam proses pengukuhan idea dan jalan cerita. Jika sudah sempurna nanti, Insyaallah ia dapat diterbitkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan